Wednesday, August 4, 2010

PANTUN NASIHAT SEBAGAI PEDOMAN

Pergi melancong ke Bandar Sibu,
Singgah sebentar di Bumi Kenyalang,
Buktikan kepada ayah dan ibu,
Segulung ijazah dibawa pulang.

Buah pala di dalam raga,
Ambil sebiji untuk dimakan,
Amanat Allah harus dijaga,
Lahirnya belia penggerak wawasan.

Dari Acheh menuju Patani,
Sambil berdagang kain sutera,
Yakinkan diri cekalkan hati,
Berkat usaha hidup terbela.

Duduk bersembang di tepi anjung,
Terkenangkan anak jauh di kota,
Tetapkan matlamat azam menggunung,
Nescaya kejayaan menyusur tiba.

Ulat bertenggek di pohon kelapa,
Bertemankan pula si burung nuri,
Janganlah lalai dan mudah alpa,
Kelak bencana menimpa diri.

Makan kurma berbuka puasa,
Dihidang bersama kuih berinti,
Beramal sedekah setiap masa,
Kelak hidup akan diberkati.

Kain songket dibuat hiasan,
Hasil tenunan cantik berseri,
Ringankan beban sesama insan,
Bukan mencerca pentingkan diri.

Anak kecil bawah jagaan,
Alahai congkak penggemar pemudi,
Biasalah hidup penuh dugaan,
Kerana Allah sentiasa menguji.

4 comments:

  1. salam..

    wah.. pantun nasihat..

    bagus anda berjaya merealisasikan penulisan kreatif anda..

    jangan lupa teruskan berkarya

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas pujian tersebut....insyaAllah

    ReplyDelete
  3. salam...
    pantun yang bagus..kita hendaklah menghargai jasa kedua ibu bapa kita,kerana mereka telah mendidik dan membesarkan kita.untuk membalas jasa mereka berdua kita perlulah belajar bersungguh-sungguh dan menjadi anak yang taat kepada kedua ibu bapa.

    ReplyDelete
  4. Salam
    Buktikanlah pada ayah bonda kita kita pasti membawa segulung ijazah kepadanya....walau apapun dugaan yang terpaksa kita tempuhi demi mereka yang tercinta.

    ReplyDelete